Friday, January 14, 2011 | By: Fazil'store

KERATAN AKBAR

Kreativiti terserlah
Oleh Hidayah Mohammad
hidayah@bharian.com.my
2011/01/12


              Pelajar tahun akhir Universiti LimKokWing tampilkan rekaan tema Fenomena Budaya

KEUNIKAN budaya pelbagai negara ternyata berbeza. Setiap budaya menerapkan nilai fesyen bagi menggambarkan identiti budaya masing-masing, malah turut dijadikan satu trend apabila gaya fesyennya diterima masyarakat setempat mahupun orang asing. Lantaran, budaya fesyen boleh dikatakan sebagai satu fenomena apabila sesuatu rekaan fesyen itu menjadi ikutan segenap lapisan masyarakat walaupun daripada budaya berbeza.

Mungkin itulah yang diterjemahkan menerusi A Cultural Phenomenon - ‘Fenomena Budaya’ iaitu tema utama pilihan pelajar tahun akhir Universiti Teknologi Kreatif LimKokWing menerusi acara pertunjukan fesyen bertajuk Creativity in Motion. Acara pertunjukan fesyen musim keempat itu membabitkan pelajar tahun akhir Fakulti Rekaan Gaya Hidup Antarabangsa sebagai penganjurnya.
Tema berkenaan sesuai dengan pembabitan mahasiswa universiti itu terdiri dari15 negara yang memiliki pelbagai jenis keunikan budaya tersendiri, selain menerapkan nilai estetika pengajian dalam mempersembahkan kreativiti rekaan pakaian masing-masing.
Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kreativititerserlah/Article/index_html



Acara berkenaan terbahagi kepada dua bahagian iaitu mempamerkan sebanyak 36 rekaan pakaian yang dicipta oleh mahasiswa Limkokwing semester tiga hingga lima. Acara diteruskan dengan paparan hebat hasil kreativiti pelajar lulusan tahun 2010 dengan gabungan idea menarik inspirasi budaya Opera Cina, elemen suku kaum di Brazil serta rekaan abadi keunikan origami Jepun.

Salah seorang mahasiswa iaitu Reyilan Ainaidu, 26, dari China membangkitkan paduan rekaan potongan topeng opera China. Rekaan anak muda itu turut diselitkan dengan elemen gambar naga dan ular yang menarik pada koleksi pakaiannya.

“Ia bagi menarik perhatian selain hasil inspirasi dari mood dan tema opera yang fokus kepada kekayaan selain menggunakan lambang ular itu sebagai menterjemahkan konsep cinta pasangan terlarang. Saya menggunakan fabrik jenis Atlas dari China bagi menonjolkan konsep yang jelas menunjukkan asas rekaan iaitu ‘keunikan, ketegasan dan kekuatan’,” katanya menerusi kenyataan media.
Beliau salah seorang daripada 34 pelajar yang juga calon model dari Limkokwing University of Creative Technology. Majlis berkenaan berjaya memaparkan 60 rekaan pakaian hasil ekspresi kreativiti pelajar yang diadakan di Café Stelle di pusat beli belah terkemuka Pavilion Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir memeriahkan majlis musim keempat ialah Presiden Lim Kok Wing, Tan Sri Dr Lim Kok Wing; Pengerusi Lembaga Universiti LimKokWing, Tan Sri Aseh Che Mat; Naib Presiden Limkokwing Associate, Kreativiti dan Inovasi, Tiffanee Marie Lim serta pelajar dan juga ahli keluarga.

Menakjubkan rekaan yang dihasilkan selepas empat musim, pertama kalinya persembahan fesyen Creativity in Motion tahun ini memaparkan koleksi busana lelaki sensasi. Walaupun mengikut tema budaya yang agak pelik dan tidak praktikal digayakan masyarakat tempatan, namun rekaan pakaian lelaki masih ada koleksi asas yang sesuai iaitu seperti jaket, kemeja, seluar panjang dan pendek yang sesuai untuk acara kasual mahupun rasmi.

Selain itu pelajar Malaysia, Michellle Ho Choy Tsin, 19, pula menggunakan inspirasi daripada unsur origami, iaitu seni lipatan kertas masyarakat Jepun. Rekaan anak muda itu ternyata unik apabila memainkan fabrik sutera organza, sutera kapas Jepun dengan corak abstrak dan satin Duchess bagi menghasilkan daya tarikan berbeza yang tidak terdapat dalam budaya di Malaysia.
Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

0 comments:

Post a Comment